Mengandung dan berpuasa ,

Wanita menganadung dan menyusukan anak diharuskan berbuka (tidak berpuasa pada bulan Ramadhan) dalam dua keadaan:

1. Dia tidak mampu untuk berpuasa. Keadaan kesihatannya tidak mengizinkan seperti tidak berupaya menahan lapar, dahaga, tidak bertenaga dan sebagainya.
2. Kesihatan dirinya tidak terjejas. Dia mampu untuk berpuasa tanpa rasa susah menahan lapar, dahaga dan seumpamanya. Tetapi dibimbangi anak dalam kandungan akan terjejas, perkembangannya akan terbantut disebabkan kekurangan zat makanan atau sebagainya. Bagi ibu yang menyusukan pula, dengan sebab puasa air susunya akan kering dan bayinya akan kelaparan kerana tidak cukup susu.

Dalil keharusan berbuka ialah qias kepada orang sakit dan sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla melepaskan dari orang musafir kewajipan puasa dan separuh daripada solat (harus solat qasar) dan dari wanita hamil dan menusukan bayi kewajipan puasa.” (Rujuk Nail al-Autor 4/230).

Walau bagaimanapun, puasa yang ditinggalkannya wajiblah diqadha pada hari-hari lain. Bagi keadaan pertama wanita berkenaan wajib qadha sahaja sebanyak hari yang ditinggalkan. Manakala keadaan kedua dia wajib qadha serta membayar fidyah anggaran satu cupak beras (lebih kurang satu kilogram) untuk satu hari. Jika tidak berpuasa selama 30 hari, dia wajib qadha 30 hari beserta fidyah sebanyak 30 cupak (30 kg) beras. Fidyah hendaklah dibayar kepada faqir dan miskin. 

Perlu diingat, walaupun dia dibenarkan tidak berpuasa, janganlah sia-siakan peluang beramal soleh sepanjang Ramadhan yang berkat ini. Gunakan masa untuk solat tarawih, tilawah serta tadarus al-Quran, menginfaq atau menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, membanyakkan sedekah, berzikir, beristighfar, berselawat ke atas Nabi, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga, saudara mara, berdakwah, menghadiri majlis ilmu dan bermacam-macam lagi. Mudah-mudahan limpahan cahaya Ramadhan akan menerangi perjalanan hidup kita selama-lamanya insya Allah.