Tangisan yang kedengaran

Setelah 9 bulan berada dalam perut si ibu, akhirnya sudah tiba untuk si Hawa melihat dunia. Oh teruja, akhirnya si Hawa akan bertemu dengan bidadari dunia.

Pasti dia cantik,
Pasti dia akan menyayangi aku,
Pasti aku berita gembira buat dia,
Pasti.

Si Hawa meronta keluar, air ketuban ibunya pecah. Sudah tiba masanya untuk Si Hawa keluar.

Aku sudah nampak cahaya, aku sudah bebas! Mengapa ibu berkasar denganku? Mengapa ibu menarikku keluar? Pasti ibu tidak sabar. Ibu, tunggu aku!

Akhirnya, sekujur badan dikeluarkan oleh ibu, itu aku. Tangisanku, kedengaran oleh ibu dan ibu juga mengeluarkan air mata. Ibu berkata tapi aku tidak mengerti. Aku kesejukan, aku ingin didakap oleh ibu, aku ingin merasakan cinta, aku ingin merasakan sayang. Tapi aku hanya diselimuti oleh sehelai kain. Ibu! Ibu! Aku kesejukkan!

Ibu tempatkan aku di dalam kotak, dan berlalu pergi. Ibu,  ibu nak pergi mana? Sekali lagi aku tidak mengerti apa yang ibu katakan. Aku terus menangis, dan menangis mahukan ibu. Ibu, bidadari duniaku, akan ku tunggu kepulangan. Aku di sini ibu.

Aku menangis, sehingga tertidur. Belum lagi dapat ku merasakan susu ibu, aku haus. Aku dahaga. Ibu masih belum kembali, Aku sudah tidak berdaya lagi untuk menangis, untuk menahan kesejukan lapar dan dahaga. Aku pasrah, tidur sahaja sampai ibu kembali. Aku berharap agar aku tidak terus tidur untuk selamanya. Aku harus kuat, aku mahu melihat ibu.

Aku tidak berdosa, mengapa ibu pergi? Mengapa ibu menyeksaku? Apa salahku ibu? Apa salahku ayah?