Menyusu di atas pangkuan ibunya,
Disaksikan beratus orang berbilang bangsa, berbilang kaum.
Lelaki, perempuan.
Yang bukan mahram kepada ibunya.
Dihadapan terletak bekas berisi wang.
Entah berapa lama sudah ibunya melabuhkan punggung di atas jalan raya
Setiap Khamis, setiap Ahad,
Pasti mereka disitu.
Ada yang kasihan, ada yang tak endah.
Ada yang tunduk melihat, menghulurkan wang.
Ada yang mendongak ke langit, tidak hirau. Tidak perasan.
Ingatlah wahai anak. bila kau besar kelak.
Ibumu sanggup mengemis, untuk memberi kau makan.
Tanpa memikirkan hujan, panas.
Untuk membeli pakaian.
Untuk kau, segalanya untuk kau.
Ibu kau menebalkan muka demi sesuap nasi.
Ibu kau sanggup duduk di atas jalanraya,
Ibu kau sanggup diherdik, dipandang hina.
Membawa kau bersama, bukan untuk meminta simpati.
Bukan untuk menggunakan kau.
Niat hanya untuk bagi mereka mengerti kondisi kalian.
Ingat wahai anak.
Jangan pernah tanya
Ibu kenapa kita miskin,
Ibu kenapa kita mengemis.
Ibu kenapa nasib kita begini.
Semua dah ditentukan.
Tempat kalian di syurga kelak.
Sikit lagi, anak.
Berbahagialah kalian di syurga.